Terkapai-kapai diri dihanyut arus waktu
Kegelapan hati yang sering buat ku keliru
Dalam menguji pergolakan emosi diri
Tak siapa tahu ada yang memerhati
(Mencari yang Maha Satu itu yang ku tuju)
Di dalam menjalani tiap dugaan yang diberi
Membawa pengertian hidup yang abadi
Tanpa perlu menipu diri sendiri
Yang menjadi lumrah duniawi
Seandainya ada yang memberi ruang
Akan ku baiki setiap kekurangan
Oleh itu diriku memerlukan
Petunjuk dari-Mu oh Ilahi
(Kau yang Maha Satu)
Diriku kini masih tercari-cari
Jawapan di setiap persoalan ini
Ku akui kesalahan yang buat segalanya
Gelap jadinya jiwa seadanya
(rap)
Ku cari terus ke situ
Itulah petunjuk hidupku
Terangilah gelap hatiku
Ku pohon restu dari-Mu
Akan ku baiki setiap kekurangan
Oleh itu diriku memerlukan
Petunjuk dari-Mu oh Ilahi
(Kau Yang Maha Satu)
Agar tidak tersilap langkahku
Tiba-tiba berbisik nama-Mu oh Ilahi
Terdetik di hatiku untuk sujud ke pangkuan-Mu
Memohon ampun dari-Mu
Tak seharusnya ku tergoda lagi
Dunia ini yang sesat membuntukan jiwaku
Kini ku mengakui keagungan-Mu
Yang membuat ku sedar siapa diriku ini
Tak semua lahir sempurna, Tak semua lurus jalannya,
Bermulalah cerita dah dijadikan cerita
Dengan izin Yang Maha Esa wujud
Aku cinta dan cita
Segala yang ada bermula dari Yang Maha Esa
Aku akui ada langkah serongku, Taklah hasratku setajam itu,
Yang amatku risau lidah hujan dibanjiri
Fitnah melilau-lilau
Tuhan lindungilah dia dari kata jahatnya itu
Doa-doa di pohon sentiasa setiap masa
Ampunilah dosa-dosa semasa laluanku ke sana
Dewasakan pemikiranku yang tak semegah mana
Salah silap ku berkarya tak pernah ku salah guna
Kau Yang Maha Satu (4x)
Sudah berulang kali nasyid ni bermain di corong speaker laptopnya. Sambil mendengar, fikirannya menerawang jauh. Bagaikan, ada sesuatu yang ‘membawanya’ pergi jauh, meskipun hakikat, jasadnya kelihatan berada di situ. Di kerusi studynya itu.
Fikirannya menerawang jauh. Bagaikan ada layar skrin putih, di mana tertayang semula setiap ‘flashback’, semua perkara yang berlaku dalam hidupnya sejak kebelakangan ini.
Persoalan demi persoalan diajukan. Namun, soalan itu hanya setakat mampu diluahkan di mindanya sahaja. Tiada siapapun yang mengetahui soalan2 itu, kecuali dirinya sendiri, dan juga Yang Maha Mendengar segalanya.
Dia akui, dirinya lemah. Dirinya penuh dengan noda dan dosa. Penuh dengan kesilapan dan kelemahan. Sehinggakan dia merasakan, ‘malu’ untuk memohon ampunannya.
Mana tidaknya, dia mencari Tuhan, apabila kesusahan itu datang menimpa. Dia menadah tangan memohon segala macam doa, apabila dirinya dihimpit kesempitan yang teramat sangat. Namun apabila dalam keadaan senang, sungguh, amat sukar sekali dia ingatkan Tuhan, walaupun hanya sekadar mensyukuri nikmat yang dianugerahkan-Nya.
Lumrah manusia. Apabila sudah terhantuk, baru terngadah. Apabila sudah dalam kesusahan, barulah sibuk mencari.
Teringat ukhtinya yang terapat pernah berkongsi dengannya suatu ketika,
“Allah perlu kita cari, tatkala dalam masa susah, mahupun senang. Cuba bayangkan, apabila kita mencari kawan kita apabila kita dalam keadaan susah, sedangkan masa kita senang, kita tak pernah pedulikan pun kawan kita itu. Sudikah dia menolong kita ketika itu? Ye, mungkin dia sudi membantu, tapi tidak sama rasanya. Kalau kawan yang sama itu, kita berkongsi waktu senang kita, apabila kita ditimpa kesusahan, dialah orang pertama yang akan menghulurkan bantuannya terhadap kita.
Begitu juga dengan Allah. Sekiranya kita mentaati dan memuji Allah masa kita senang, sihat dan lapang, InsyaAllah, kita akan segera dibantu dalam waktu susah kita. Kerana ada hadis Rasulullah s.a.w, Baginda bersabda ; Sesiapa yang menginginkan doanya dikabulkan oleh Allah pada masa kesusahan, hendaklah dia memperbanyakkan doa pada masa lapang [Riwayat at-Tirmizi].
Namun, perlu diingat, rahmat Allah itu sangat luas. Allah itu Maha Pengampun. Allah itu Maha menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat. Apabila kita tersedar atas setiap kesilapan kita itu, mohonlah ampunan-Nya. Jangan dek kerana kesalahan kita yang berulang itu membuatkan kita berputus asa terhadap redha dan rahmat-Nya. Jangan menggolongkan diri ke dalam golongan mereka yang rugi.”
Setelah sekian lama duduk berteleku di kerusi studynya, akhirnya dia mula menggerakkan langkah menuju ke bilik air. Dibasahi tangan, muka dan kakinya dengan air seraya berwudhu’. Memohon agar diberikan ketenangan hati menghadapi setiap persoalan yang merunsingkan mindanya. Memohon agar diberikan kekuatan dalam menghadapi setiap dugaan yang diberikan. Memohon agar dirungkaikan segala ‘rahsia’ di sebalik setiap ‘rahsia’ yang berteka teki ini.
Kunci kepada setiap permasalahan itu, datangnya daripada Allah. Maka, kepada Allah jualah tempat sebaik-baiknya untuk ditanyakan di mana pintu2 yang bakal membuka mata hati kita mencari penyelesaian.
Benar dan tersangat-sangat benar firman Allah ; “(iaitu) orang2 yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” [Ar-Ra'd ; 28]
Tak kira. Susah. Senang. Sakit. Sihat. Sempit. Lapang. Itu sahaja cara dan penyelesaian kepada satu demi satu persoalan yang bersarang itu. InsyaAllah, akan ditunjukkan jalan penyelesaian yang terbaik, dengan harapan agar tiada ‘bantuan tambahan’ oleh makhluk Allah yang bernama Syaitan. Risau, khuatir, lain yang diinginkan, lain pula jadinya, apabila kehendak hati ini terpengaruh dengan bisikannya.
*****
Sebuah karya ringkas.
Rahmat Allah itu luas. Seluas-luasnya.
Jangan putus asa terhadap-Nya.
Meskipun kesalahan itu dilakukan berulang kali, Allah itu Maha Pengampun.
Mujahadahlah. Jadilah insan yang kuat. Jadilah insan yang tenang. InsyaAllah.
Wallahu’alam.
****
Saya ingin berkongsi sebuah video. 5 aspek yang diperlukan untuk menjadi ‘sebatang pensil’ yang berjaya. Dan tanpa disedari, 5 aspek ini jugalah yang kita perlukan dalam kehidupan kita sehari-hari. Sehingga ke nafas kita yang terakhir.